mutakhir

Mungkin mayat pekerja kapal

Oleh Norsyazwani Nasri

MAYAT seorang lelaki ditemukan terapung di Sungai Lebaan, Bawang Assan, Sibu, petang ini.

Mayat tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui oleh orang awam pada 4.40 petang sebelum menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Koo berkata, mayat yang masih belum dikenal pasti identitinya dijumpai di tebing batu berhampiran jeti.

“Mayat yang sudah mengembang itu dipercayai berada dalam sungai selama dua hari,” katanya.

Martin berkata, pemeriksaan awal juga mendapati tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mayat itu warga India berumur dalam lingkungan 20-an, seorang pekerja kapal yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu.

“Polis sudah memanggil majikan dan rakan sekerja mangsa untuk membuat pengecaman mayat,” katanya.

Beliau berkata, punca kematian dipercayai mati lemas, namun pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengenalpasti punca sebenar kematian.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR)” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 8:51pm
d