mutakhir

Negara kehilangan sejarawan terbilang - Tun M

Oleh Suraya Roslan

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh sejarawan negara, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia hari ini.

Beliau berkata, pemergian Dr Kay Kim adalah kehilangan besar kepada negara kerana mendiang disifatkan individu hebat yang memperjuangkan sejarah dan kaum di negara ini.

“Takziah kepada keluarga mendiang. Saya sedih kerana tidak sempat menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang. Saya mahu melawat tetapi tidak mempunyai masa.

“Mendiang adalah individu yang hebat dan banyak memberi sumbangan besar kepada perkembangan sejarah negara.

“Mendiang juga adalah sejarawan terbilang yang sangat adil kepada semua kaum di negara ini kerana beliau sentiasa bersifat benar sama ada bercakap mengenai Cina, Melayu atau India dan semua orang sentiasa menghormatinya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Petaling Jaya, hari ini.

Dr Kay Kim meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sekitar 10 pagi hari ini, pada usianya 82 tahun.

Disiarkan pada: May 28, 2019 @ 10:10pm
d