mutakhir

Lima anak syarikat NAFAS dihentikan sementara

Oleh Noorazura Abdul Rahman

OPERASI perniagaan lima daripada 11 anak syarikat milik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang tidak berdaya maju terpaksa dihentikan sementara bagi membolehkan kajian semula dilakukan.

Pengerusi NAFAS, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, kajian itu bagi menilai semula sama ada ia perlu terus beroperasi atau sebaliknya.

“Keputusan itu diambil selepas lima anak syarikat milik penuh NAFAS itu tidak berfungsi serta menunjukkan kerugian berterusan.

“Malah, ada di antara anak syarikat yang dengan usaha sama dalam bidang pendidikan dengan sebuah universiti di Kuala Lumpur tetapi tidak mendapat sambutan, selain ada yang terbabit dengan perdagangan 'tidak pasti' dengan sebuah syarikat di India,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Iftar Pertubuhan Peladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Alor Mengkudu di Alor Setar, malam tadi.

Pada majlis berkenaan seramai 130 orang asnaf menerima sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Phahrolrazi berkata, syarikat ini tidak ditutup tetapi perniagaannya diberhentikan sementara sejak bulan lalu untuk di kaji semula sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.

“Antara sebab yang dikenal pasti ialah ada syarikat ini wujud, tapi tidak menjalankan sebarang perniagaan dan ada syarikat yang tidak mencatat keuntungan dan terus mengalami kerugian,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Alor Mengkudu berkata, tindakan itu terpaksa diambil dalam usaha NAFAS menyusun dan mengurus tadbir semula anak syarikat di bawah kepimpinan baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kepimpinan baharu itu akan memastikan anak syarikat NAFAS terus berdaya saing seterusnya memberi keuntungan yang lebih kukuh.

“Oleh kerana NAFAS lebih kepada perniagaan jadi banyak kesilapan pimpinan NAFAS yang lalu kita perlu perbaiki dan letak semula di landasan betul.

“Dalam kepimpinan baharu ini, kerajaan mengarahkan NAFAS menentukan hala tuju baharu yang memenuhi dasar kerajaan terutama dalam bidang keselamatan makanan,” katanya.

Phahrolrazi berkata, selain membekalkan baja subsidi kepada peladang, NAFAS akan terus komited memajukan perniagaan sedia ada seperti membekalkan ayam kepada kontrak kerajaan dan membekalkan anak pokok kelapa sawit kepada peladang.

Pada 1 Jun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggantung operasi NAFAS susulan masalah serius tadbir urus terutama aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 9:36am
d