mutakhir

134 PATI ditahan di Pasar Chow Kit, Kampung Baru

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SERAMAI 134 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun diberkas dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kuala Lumpur, semalam.

Operasi bermula jam 9.15 malam dilaksanakan di premis sekitar Pasar Chow Kit dan Kampung Baru.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kira-kira 235 orang PATI diperiksa dalam operasi itu.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada dokumen sah, salah guna pas lawatan, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf serta kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen,” katanya kepada media selepas operasi berkenaan.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Muhyiddin berkata, kesemua tahanan dihantar ke depot Imigresen untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga Isnin lalu, JIM sudah melaksanakan 7,501 Operasi Penguatkuasaan di seluruh negara.

“Seramai 95,029 diperiksa dan hasilnya seramai 22,473 PATI dari pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.

Selain PATI, operasi turut menahan 577 majikan dengan 312 daripada mereka sudah diambil tindakan pendakwaan.

“Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi membabitkan warganegara Indonesia seramai 16,098 orang, diikuti Bangladesh (10,039), Filipina (4,669), Myanmar (4,155 dan bakinya dari negara lain.

“Jumlah keseluruhan PATI yang diusir pula seramai 28,853,” katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 12:19pm
d