mutakhir

Bekas pekerja Lazada curi iPhone dipenjara, denda

Oleh Sarah Zulkifli

BEKAS pekerja Lazada yang mencuri telefon bimbit iPhone XR milik syarikat beli-belah dalam talian itu dipenjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Aidil Md Khairi, 24, selepas dia menukar pengakuan bersalah dalam sebutan semula kes.

Mahkamah memerintahkan penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Aidil didakwa mencuri telefon bimbit iPhone bernilai RM3,399 milik Lazada.

Kesalahan itu dilakukan di Lazada E-Logistik Express Malaysia, Persiaran Subang Indah, USJ 1, jam 10 pagi pada 15 Januari lalu.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, dia yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf dengan perbuatannya selain ia adalah kesalahan pertama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid, memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Sebelum ini, tertuduh menghantar representasi untuk menggugurkan pertuduhan dihadapinya, namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Disiarkan pada: May 29, 2019 @ 5:45pm
d