mutakhir

Ikhlas si bongsu

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

PENGORBANAN Alias Awang yang rela mengetepikan kepentingan sendiri untuk memastikan kebajikan ibunya terjaga membuatkan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Marang kagum dan berkunjung ke rumahnya bagi menghulurkan sumbangan.

Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Marang Hartini Hussin berkata, tidak ramai pemuda yang sanggup menghabiskan masa muda mereka dengan menjaga ibu yang terlantar sakit sehingga mengetepikan kepentingan peribadi pada zaman sekarang.

Menurutnya, pengorbanan Alias, 40, boleh dijadikan contoh kepada generasi sekarang terutama anak lelaki yang perlu menggalas tanggungjawab menjaga ibu dan bapa sehingga ke akhir hayat.

Katanya, laporan keikhlasan dan kesungguhan Alias menjaga ibunya, Teh Chik, 84, yang terlantar sakit sejak enam tahun lalu di akhbar ini menyuntik kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga ibu bapa.

“Srikandi Bersatu Marang bangga dengan akhlak dan kesanggupan Alias menjaga ibunya sekali gus berharap ia menjadi ikutan generasi sekarang,” katanya ketika ditemui di rumah dua beranak itu di Kampung Gong, Rusila di sini, semalam.

Sementara itu, Alias berkata, dia berasa terharu dengan sumbangan diberikan dan tidak pernah terfikir akan mendapat perhatian serta respons positif daripada masyarakat.

“Menjadi tanggungjawab setiap anak menjaga segala keperluan dan kebajikan ibu bapa terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan atau uzur.

“Segala pengorbanan itu dibuat kerana saya sayangkan ibu malah ia dituntut agama. Harapan saya supaya orang lain juga merebut peluang menjaga ibu atau bapa masing-masing sementara mereka masih ada,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan seorang anak lelaki bukan saja tidak bekerja malah tidak berkahwin semata-mata mahu memberi sepenuh perhatian kepada ibunya yang lumpuh selepas tergelincir di bilik air

Pengorbanan Alias yang juga anak bongsu daripada 10 beradik menjaga ibunya yang lumpuh sejak enam tahun lalu bukan saja menimbulkan rasa kagum terhadap keikhlasan dan pengorbanannya tetapi wajar dijadikan contoh kepada masyarakat.

Teh yang tergelincir ketika mandi di bilik air pada 2013 perlu diuruskan sepenuhnya sekali gus tugas memandikan, membasuh najis dan menyuap makan kini digalas Alias.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 4:30am
d