mutakhir

Syarikat terbabit rasuah boleh didakwa

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal melaksanakan undang-undang baharu iaitu Seksyen 17A Akta SPRM 2009, yang akan berkuat kuasa Jun 2020.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, peruntukan undang-undang yang membolehkan syarikat terbabit rasuah didakwa bertujuan melaksanakan obligasi dan memenuhi tanggungjawab antarabangsa di bawah Artikel 26

Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC) yang merujuk kepada ‘Liability Of Legal Person’.

Beliau berkata, sebelum peruntukan itu wujud, Akta SPRM 2009 hanya tertumpu kepada pendakwaan atas ‘natural person’ iaitu individu yang terbabit dengan rasuah sahaja.

“Oleh itu, Seksyen 17A digubal bagi membolehkan syarikat yang menjalankan kegiatan rasuah, dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

“Seksyen 17A sudah diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018, yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersil,” katanya kepada Bernama.

Azam berkata, melalui seksyen berkenaan, organisasi komersil boleh didakwa sekiranya orang yang bersekutu dengan organisasi komersil itu terbabit jenayah rasuah bertujuan membolehkan organisasi komersil itu memperoleh atau mengekalkan kontrak atau kepentingan.

“Pada masa sama, peruntukan itu menghendaki, sebagai tindakan pencegahan organisasi komersil untuk mewujudkan polisi dan usaha pencegahan rasuah dalam organisasi mereka dalam bentuk tatacara yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, dalam menggubal peruntukan itu, SPRM merujuk kepada pelbagai sumber perundangan sama ada domestik atau luar negara.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 9:55am
d