mutakhir

Dua beradik, sepupu, dipercayai lemas

Oleh Khalid Latip

KEGEMBIRAAN dua beradik bersama seorang sepupunya menyambut Gawai berakhir tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas di Sungai Nanga Tutus, Sibu, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, dua adik beradik, Trance Gong Tommy, 14, dan Trisha Janggok Tommy, 12, manakala sepupu mereka, Nurul Syahiera Salam, 13, keluar ke jeti di sungai itu untuk membantu bapa saudara membasuh pakaian, sambil ditemani nenek mangsa.

Pada awalnya, Trance dan Trisha dilihat terjun ke dalam sungai bersama Nurul Syahiera sebelum timbul semula dan naik ke jeti.

Pemangku Ketua Bomba Zon Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, menurut keterangan nenek mangsa, kelibat ketiga-tiga mereka tidak kelihatan selepas terjun buat kali kedua.

“Kesemua mangsa dari Rumah Ligawa, dikhuatiri lemas. Berikutan itu pihak kami melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah.

“Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan jam 4 petang (semalam) dan SAR turut mendapat kerjasama 14 penduduk kampung.

“Namun, operasi berkenaan ditangguh jam 7 petang atas faktor cuaca,” katanya ketika ditemui sini, hari ini.

Katanya, sebanyak lima bot persendirian milik penduduk sekitar turut bekerjasama mencari kesemua mangsa.

“Sehingga jam 9.30 pagi (hari ini), operasi SAR dihentikan seketika kerana hujan lebat dan akan bersambung semula selepas cuaca mengizinkan,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 1:27pm
d