mutakhir

Dua rakan didakwa pengganas

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

DUA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini atas tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengganas, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Nuurul Amin Azizan dan rakannya, Muhammad Syazani Mahzan, masing-masing 27 tahun didakwa telah pergi ke Jogjakarta, Indonesia melalui Jakarta, Indonesia dengan niat melakukan perbuatan pengganas.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 6.55 pagi, 26 April 2018.

Muhamad Nuurul yang juga pekebun dan Muhammad Syazani yang bekerja sebagai penjual burger memahami pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Sabri Othman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kedua-dua tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Sebelum ini media melaporkan, Muhamad Nuurul dan Muhammad Shazani ditaham mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 14 Mei 2019 di Kuala Muda, Kedah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menerusi kenyataanya pada 16 Mei lalu dipetik berkata, kedua-dua lelaki terbabit berasal dari Kedah disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis.

Pada masa sama di mahkamah berasingan, seorang pekerja restoran Hafiz Othman, 42, didakwa pergi ke Wilayah Sinai Mesir dari Malaysia melalui Kaherah dengan niat melakukan aktiviti pengganas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Gate C1 Terminal Satelit KLIA pada 6.05 petang, 17 Mei 2019.

Pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Saifulakmal Mod Said.

Pendakwaan bagi semua kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman.

Dakwaan terhadap ketiga-tiga lelaki itu adalah mengikut Seksyen 130 JA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 1:28pm
d