mutakhir

Ganasnya teman serumah

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

WANITA berusia 25 tahun parah dibelasah teman serumah selepas dituduh menyapu sampah hingga mengenai muka seorang kenalan di apartmen Garden D’ Villa, Bandar Baru Senawang, Seremban, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga penasihat jualan kereta mengalami bengkak di kepala, lebam mata kiri, luka di muka, sakit di leher serta badan.

Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berselisih faham dengan teman serumah yang juga seorang kontraktor wanita berusia 30-an.

“Teman serumah menuduh sewaktu mangsa menyapu sampah, penyapu itu mengenai muka rakannya yang datang ke apartmen terbabit. Mangsa menafikan dan memberitahu rakannya itu membantunya mengangkat barangan di lantai,” katanya.

Menurutnya, tidak semena-mena, suspek mencakar muka mangsa, menumbuk kepala dan menarik rambutnya hingga terjatuh.

“Tidak cukup dengan itu, badan mangsa dipijak sebelum dia diheret masuk ke dalam sebuah bilik. Mangsa sekali lagi dipijak di perut dan dibelasah,” katanya.

Menurutnya, tidak tahan dengan kejadian mangsa melarikan diri dan menyewa sebuah bilik hotel di Senawang.

“Pada jam 1.30 tengah hari, suspek dapat mengesan kedudukan mangsa dan menyerangnya di hotel berkenaan. Sekali lagi, wanita itu ditumbuk di muka lalu dan ditendang hingga terjatuh dari katil,” katanya.

Sehubungan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Senawang, jam 9.30 malam kelmarin.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak yang dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 3:20pm
d