mutakhir

Sindiket seludup serbuk tembakau tumpas

Oleh Norizuan Shamsuddin

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan serbuk tembakau selepas menahan seorang lelaki warga Pakistan di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan, 9 Mei lalu.

Hasil serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, JKDM turut merampas serbuk tembakau dianggarkan seberat 25.5 tan metrik bernilai RM1.3 juta dengan nilai cukai RM2.1 juta.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) susulan maklumat orang awam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui beg berisi serbuk berwarna kelabu dipercayai tembakau kering yang belum diluluskan pihaknya.

“Hasil siasatan mendapati sindiket didalangi warga Pakistan itu membawa masuk tembakau kering berkenaan dari luar negara dengan membuat ikrar palsu pada borang kastam.

“Sebaik dagangan itu dibawa masuk ke negara ini, sindiket terbabit akan menghantar ke gudang berkenaan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Kelana Jaya, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati tembakau kering itu diseludup untuk dijual kepada pekerja asing di sekitar Lembah Klang.

“Berikutan itu, warga Pakistan yang juga pengurus syarikat yang mengimport bahan berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 23 Mei lalu kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, dadah dan mercun diminta memaklumkan kegiatan itu dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau layari laman sesawang aduan awam di http://aduan.customs.gov.my,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 3:22pm
d