mutakhir

'Kami sedia berkhidmat'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 15,000 pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan menjaga keselamatan negara sepanjang cuti sempena Aidilfitri.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, jumlah itu membabitkan pegawai serta anggota dalam tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kesemua 15,000 pegawai serta anggota ini ditugaskan bagi memastikan keselamatan rakyat dan negara terjamin sepanjang mereka bercuti menyambut Aidilfitri.

“Mereka akan terbabit dalam rondaan serta pemantauan sepanjang perairan serta ruang udara negara selain kawalan di kawasan sempadan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga ATM Sempena Aidilfitri di Wisma Pertahanan, hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Panglima Tentera laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Zulkifli berkata, kawalan keselamatan itu juga membabitkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain yang berkaitan terutama membabitkan kawasan perairan negara.

Sementara itu mengulas mengenai Kertas Putih Pertahanan pertama negara, beliau berkata, ATM kini dalam rangka untuk mendapatkan pandangan rakyat di negara ini berhubung cadangan serta usul dalam kertas putih itu.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut bersetuju dengan beberapa cadangan serta pandangan ATM yang dimuatkan dalam kertas putih berkenaan menerusi pertemuan diadakan bulan lalu.

“Menerusi itu, Perdana Menteri bersetuju dengan pandangan cadangan dalam Kertas Putih Pertahanan itu.

“Susulan itu, ATM kini berharap agar masyarakat di negara ini dapat memberi pandangan mereka terhadap cadangan dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan itu,” katanya.

Mengenai majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 500 warga ATM yang hadir.

Malah, dalam ucapannya beliau turut memaklumkan sudah memberi arahan agar semua cabang ATM memberi peluang kepada warganya yang diberi cuti untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

“Sebagaimana lazimnya dan menjadi budaya, ATM sebelum ini akan mengadakan majlis sambutan Aidilfitri untuk warganya pada hari raya pertama.

“Namun, tahun ini saya sudah arahkan agar sambutan hari raya tidak lagi diadakan pada hari raya pertama dan diadakan pada hari lain.

“Ia bagi membolehkan warga ATM khususnya yang diberikan cuti untuk menyambut Aidilfitri dengan keluarga tercinta,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 4:04pm
d