mutakhir

Melecur muka, kepala dipercayai cuba bakar diri

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PERUNDING perkahwinan melecur hampir 20 peratus di muka dan kepala selepas dipercayai cuba membakar diri dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Tok Has, Jertih, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.07 tengah hari itu, lelaki yang berusia 37 tahun terbabit dipercayai cuba membakar diri berdasarkan penemuan satu botol plastik minuman berisi petrol di tempat duduk pemandu Proton Persona.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.13 tengah hari memaklumkan terdapat sebuah kereta terbakar dengan seorang mangsa berada di dalam kenderaan itu.

Beliau berkata, orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian segera membantu mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Zamri berkata, siasatan mendapati tayar hadapan sebelah kiri kereta pecah namun lelaki terbabit tetap meneruskan perjalanannya dari arah Jertih ke Kuala Besut.

Katanya, selain penemuan botol plastik berisi petrol, terdapat kesan terbakar di bumbung kerusi pemandu.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca mangsa bertindak sedemikian,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2019 @ 6:14pm
d