mutakhir

Kereta terbabit kemalangan hangus

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PROTON Waja terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori dan sebuah treler di Kilometer 39.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di Kulai, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira 3.05 pagi itu, pemandu kereta itu berjaya keluar sendiri daripada kenderaannya sebelum bomba tiba untuk memadam kebakaran.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Hairisyah Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.08 pagi sebelum bergegas ke lokasi dengan kekuatan 14 anggota.

“Kita terus ke lokasi bersama jentera dan van EMRS untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan semua mangsa.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran sebuah kereta jenis Proton Waja. Kebakaran berlaku selepas kereta itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu dan sebuah treler.

“Mangsa keluar sendiri dari kenderaannya sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, dua pemandu daripada tiga kenderaan itu cedera dan dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) menggunakan EMRS.

Katanya, operasi kemudian ditamatkan pada 3.25 pagi.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 10:51am
d