mutakhir

Bomba Kedah 'raya' di Plaza Tol Gurun

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menempatkan 10 anggotanya di Plaza Tol Gurun setiap hari sepanjang Ops Selamat, kali ini.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya akan bertugas secara bergilir-gilir untuk memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku kemalangan, kebakaran dan sebagainya pada musim perayaan ini.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan dibantu Guar Chempedak, Alor Setar dan Pendang akan bertugas bergilir-gilir di situ bermula sejak 29 Mei hingga 12 Jun nanti iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Dijangkakan sejuta kenderaan akan pulang beraya ke Kedah pada tahun ini dan kita perlu bersiap siaga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Anggota kita akan melakukan rondaan sekurang-kurangnya tiga kali sehari di lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri untuk memantau pergerakan kenderaan," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Gurun, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, daripada 10 anggota yang bertugas, enam daripadanya berada dalam satu pasukan dan sebuah jentera, manakala empat lagi adalah dari Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Beliau berkata, seorang pegawai kanan yang bertugas sebagai Komander Operasi Negeri perlu berada di Pusat Gerakan Operasi (PGO) untuk memantau setiap operasi yang dilakukan.

"Dua kes kebakaran yang berlaku membabitkan sebuah kontena dan pencawang elektrik di Gurun selama dua hari berturut-turut dapat dipadam dengan cepat dengan bantuan anggota yang bertugas di Plaza Tol Gurun ini.

"Plaza Tol Gurun adalah tempat strategik dan berada di antara Sungai Petani dan Alor Setar malah bantuan segera akan diberikan sekiranya diperlukan," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota EMRS juga boleh membantu memberi rawatan awal kepada mangsa kemalangan manakala jentera pula boleh bergerak dengan pantas sekiranya berlaku kemalangan atau kenderaan rosak dan sebagainya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 12:03pm
d