mutakhir

Bayi sumbing perlu bantuan

Oleh Shahrinnahar Latib

SEORANG ibu memohon sumbangan orang ramai untuk membantu membiayai kos rawatan pembedahan bayinya yang mengalami bibir dan lelangit sumbing serta sindrom Vacterl iaitu pelbagai kecacatan fizikal.

Lebih menyedihkan, Muhammad Alif Nafis Amran, berusia 12 bulan turut mengalami masalah kesihatan sejak lahir iaitu jantung berlubang, tulang belakang tidak sempurna, masalah buah pinggang, mempunyai satu paru-paru dan tulang tidak sempurna.

Ibunya, Nor Kintan Abdul Rahman, 39, berkata, dia dan suami Amran Tahir, 47, cuba membawa kes anaknya untuk menjalani pembedahan di hospital swasta.

Ini kerana, katanya hospital kerajaan dan Institut Jantung Negara (IJN) memaklumkan pembedahan bayinya tidak boleh dilakukan kerana berisiko tinggi.

“Anak mempunyai masalah jantung berlubang, jadi doktor maklumkan bahaya untuk membuat pembedahan kerana bimbang anak tidak mampu bertahan.

“Malah, mereka juga tidak mempunyai peralatan mencukupi bagi pembedahan sumbing dialami Muhammad Alif Nafis,” katanya di Maran, hari ini.

Suri rumah itu berkata, dia tidak pasti berapa kos yang diperlukan untuk pembedahan sumbing anak bongsunya, tetapi dia dimaklumkan agak tinggi.

“Jadi, saya memohon bantuan orang ramai supaya dapat meringankan beban untuk menanggung kos rawatan Mohammad Alif Nafis,” katanya.

Pada masa sama, ibu kepada lima anak itu turut berharap ada pihak sudi berkongsi maklumat hospital swasta yang boleh membuat pembedahan sumbing dengan segera.

“Saya harapkan selepas menjalani pembedahan ini Muhammad Alif Nafis dapat bercakap dan makan seperti kanak-kanak lain.

“Sekarang dia hanya boleh makan biskut dan minum susu sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu adik Muhammad Alif Nafis boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (0630029000073905) atau menghubungi talian 010-5775818.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 1:09pm
d