mutakhir

Seorang maut, dua motosikal bertembung

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SEORANG penunggang maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Betik Utama, Masai, Johor Bahru, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi, mangsa, Khairulizam Mohamad Saad, 40, dikatakan dalam perjalanan dari arah Masai menghala ke Kong Kong.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dikatakan bertembung dengan motosikal ditunggang S Surendran, 25, dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, Khairulnizam cedera parah di kepala, tangan dan kaki selepas tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Surendran yang cedera di kepala dan muka dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kemalangan berlaku di selekoh dengan jalan empat lorong dua hala.

“Polis meminta saksi bebas supaya membuat laporan berikutan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 2:57pm
d