mutakhir

MYNIC ceriakan asnaf

Oleh Alias Abd Rani

LIMA keluarga serta asnaf bakal menyambut Aidilfitri kali ini dengan penuh keceriaan selepas nasib mereka mendapat perhatian sebuah agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MYNIC semalam.

Mereka hanya mampu menadah tangan serta melafaz kesyukuran kerana nasib mereka mendapat perhatian MYNIC menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) #MYNICCARES Ceriakan Syawal Bersama MYNIC untuk menyantuni mereka kurang bernasib baik sekitar Puchong.

Jelajah dua hari itu membabitkan penghuni Puchong Utama, Taman Sri Puchong, Kampung Tengah Batu 13 dan Kuala Sungai Baru disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan.

Semua mereka layak menerima bantuan wang tunai dan hamper manakala keluarga asnaf menerima bantuan kelengkapan menyambut Aidilfitri.

Dalam kunjungan itu, penerima terharu kerana masih ada pihak sudi menjenguk mereka apatah lagi ketika umat Islam bakal menyambut Syawal minggu hadapan.

Antara mereka yang dilawati ialah, Sappe Lahen yang mengalami strok sebelah anggota badan serta ketiadaan bekalan air di rumahnya. Selain itu, kunjungan paling menyedihkan apabila skuad MYNIC singgah di rumah pasangan Yaakob Abd Rahim, 39, dan Safia Nasir, 34.

Mereka menghadapi ujian besar selepas satu-satunya anak perempuan pasangan itu, Nur Syifaa Auni, 13 bulan menghidap penyakit 'hidrosefalus' atau berkepala besar.

Penyakit itu mula dikesan ketika kandungan berusia empat bulan menyebabkan mereka terpaksa bersengkang mata untuk memantau anak keempat daripada lima beradik.

Selain itu, mereka turut mengunjungi Ammiliza Ramli, 53, yang lumpuh serta pelbagai penyakit dihidapi, selain dua ibu tunggal, Nor Azmann Jamel, 33, dan Noor Fadzila Zainal, 37.

Nor Fadzila yang koma menyebabkan dia hanya terlantar di atas katil. Penyakit ini dihidapi selepas melahirkan anak bongsunya.

Lima hari selepas melahirkan anak, dia tiba-tiba pengsan dan ketika itu, jantung terhenti selama 24 minit. Keadaan kembali sedia kala namun disebabkan terlalu lama jantung terhenti. Keadaan ini menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak akibat kegagalan jantung berfungsi ketika itu.

Sementara itu, Hasnul Fadhly ketika ditemui berkata, #MYNICCARES Ceriakan Syawal Bersama MYNIC membabitkan 55 keluarga asnaf terdiri mereka kurang berkemampuan dan orang kurang upaya.

Beliau berkata, program ini berlangsung dua hari iaitu sejak Rabu lalu yang membabitkan empat siri termasuk penyerahan sumbangan kepada 30 asnaf di Masjid Pulau Meranti, Puchong.

"Program ini antara lain membolehkan semua pihak merasai sendiri kekusasahan dan kekurangan dihadapi ketika menjalani kehidupan harian selain menyerahkan sumbangan untuk persiapan menyambut Syawal.

"Dengan penganjuran program ini, ia menunjukkan MYNIC tidak hanya tertumpu kepada hal pentadbiran dan operasi semata-mata sebaliknya turut menitikberatkan soal kebajikan dan kesejahteraan masyarakat," katanya.

Beliau menambah, MYNIC menyediakan pelbagai insentif untuk dinikmati masyarakat di luar sana dan juga strategi jangka panjang yang mana akan memberi manfaat kepada ekonomi keluarga itu sendiri.

" MYNIC mendapat kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan Yayasan Muslimin Malaysia dengan kos keseluruhan ialah RM65,000," katanya.

Kemuncak program ini adalah berbuka di sebuah hotel di Putrajaya sebelum majlis penyampaian sumbangan serta duit raya kepada golongan asnaf yang hadir.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 5:29pm
d