mutakhir

350 Kotak Rezeki HM untuk bomba Selangor

Oleh Iskandar Shah Mohamed

“TERIMA KASIH Harian Metro kerana sentiasa prihatin dengan tanggungjawab kami yang bertugas tanpa mengira masa untuk rakyat,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis.

Sebanyak 350 Kotak Rezeki Harian Metro (HM) diagihkan kepada warga bomba negeri ini terutama mereka yang bertugas ketika waktu berbuka puasa.

Norazam berkata, pihaknya terharu dengan kesudian dan keprihatinan HM memberikan sedikit sumbangan yang amat bermakna buat anggota yang bertugas.

“Sumbangan Kotak Rezeki ini amat bermakna kepada kami dan menjadi tanda penghargaan pihak media terhadap khidmat kami membantu orang ramai yang menghadapi kecemasan terutama pada bulan puasa.

“Ia juga memudah dan meringankan beban anggota untuk berbuka puasa terutama ketika dalam operasi membantu serta menyelamat,” katanya.

Kata Norazam, semua kotak itu akan diagihkan kepada semua balai bomba di negeri ini untuk dinikmati anggota yang bertugas termasuk ketika Aidilfirti.

Rabu lalu, 3,500 Kotak Rezeki bersaiz kecil diagihkan kepada tujuh agensi

penguatkuasaan di Lembah Klang sebagai simbolik penghargaan atas kerjasama yang dijalinkan antara kedua-dua pihak selama ini.

Setiap agensi penguatkuasaan berkenaan akan menerima kotak untuk diagihkan kepada anggota yang berkhidmat di bawah jabatan masing-masing.

Antara barangan di dalam kotak berkenaan adalah kurma, kek Chiffon, air kotak, air mineral, Double Lion Cordial dan Biskut Julie’s Love Letter.

Selain pihak berkuasa, sebanyak 1,500 kotak rezeki HM juga akan diagihkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama-sama kumpulan HM dan penaja bersama seperti Julie’s, Double Lion dan pihak KLIA.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 6:15pm
d