mutakhir

Penduduk harap lebuh raya dibuka sementara

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PEMBUKAAN sementara laluan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dari Perol ke Ketereh boleh membantu mengurangkan kesesakan jalan raya susulan pertambahan kenderaan sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengerusi Portfolio Kementerian Kerja Raya Pakatan Harapan (PH) negeri, Ab Aziz Ab Kadir berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya supaya permohonan itu dipertimbangkan untuk kemudahan masyarakat negeri ini.

Beliau berkata, hasil perbincangan dan taklimat pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR), mereka berpendapat wajar jika laluan itu dibuka sementara bermula 3 hingga 9 Jun ini.

“Kita juga menerima rayuan daripada penduduk setempat dan pengguna di Kelantan supaya kerajaan dapat menimbang dan membuka jajaran lebuh raya itu untuk sementara waktu.

“Surat permohonan sudah kita hantar kepada kementerian dan diharap ia disokong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan menjangkakan projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan laluan Kadok ke Ketereh sejauh 6.85 kilometer (km) dapat digunakan sebelum Aidilfitri ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, buat masa ini, kerja terakhir pakej 2a itu sedang rancak dilakukan dan dijadualkan siap lebih awal.

Namun, katanya, beliau tidak mahu mereka membuat kerja tergesa-gesa hingga mengetepikan kualiti.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 6:42pm
d