mutakhir

96 kes curi kabel TM sekitar Bangi dan Kajang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 96 kes kecurian kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) dilaporkan di Zon Bangi dan Kajang bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengurus Besar Negeri TM Petaling Jaya, Hamidun Ismail berkata, semua kes kecurian itu membabitkan kerugian sebanyak RM1.67 juta.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 152 kes kecurian kabel TM dilaporkan berlaku di Zon Bangi dan Kajang pada 2017 membabitkan kerugian sebanyak RM992,000.

“Jumlah kes dilaporkan pada 2018 juga meningkat sebanyak 118 kes kepada 270 kes dengan kerugian berjumlah RM3.85 juta. Bagi tempoh Januari hingga April lalu pula, sebanyak 96 kes curi kabel dilaporkan membabitkan kerugian RM1.67 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Hamidun turut menyaksikan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menyampaikan sijil penghargaan kepada 11 pegawai dan anggota dari IPD Kajang yang berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian kabel TM di Zon Bangi dan Kajang pada tahun ini.

Hamidun berkata, pihaknya turut memberikan ganjaran berbentuk wang sebanyak RM1,000 kepada pegawai dan anggota polis bagi setiap kes kecurian kabel TM yang membawa kepada penahanan suspek kes berkenaan.

Pada majlis sama, Ahmad Dzaffir turut menyampaikan sumbangan kepada 26 balu kepada anggota dan 11 anak anggota IPD Kajang yang juga orang kurang upaya (OKU).

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 9:52pm
d