mutakhir

Harap ada berita gembira buat pekebun kecil

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN berharap khabar gembira diterima peneroka FELDA hari ini, turut akan dinikmati golongan pekebun kecil di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dua agensi yang mempunyai jumlah pekebun kecil yang ramai itu sewajarnya turut mempertimbangkan insentif terbaik untuk menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, kerajaan sedia maklum setiap agensi mempunyai perancangan kewangan mereka sendiri, namun apabila keputusan Kabinet untuk memberi insentif kepada peneroka FELDA, maka sewajarnya agensi berkenaan mengikut langkah yang sama.

“Saya mengambil contoh insentif raya untuk kakitangan kerajaan, kita lihat terdapat satu tindakan yang sama oleh kerajaan Persekutuan dan negeri untuk meringankan beban rakyat.

“Dengan contoh yang sama, saya yakin agensi lain sewajarnya mempertimbangkan insentif kepada pekebun kecil di bawah agensi masing-masing,” katanya selepas merasmikan Sesi Dialog Pekebun Kecil Sawit serta majlis berbuka puasa di Masjid Al-Abidin Ayer Tawar, Sungai Rambai, Jasin, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubungn bantuan khas RM300 seorang kepada 112,635 peneroka FELDA sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bantuan berjumlah RM34 juta itu disalurkan selepas kerajaan mengambil kira beban kewangan ditanggung golongan sasar, berikutan perlu menunggu untuk pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Sementara itu, Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Pakar Putra Melaka, turut mengumumkan insentif raya RM1,000 kepada 600 kakitangan serta Ahli Lembaga Pengarah (ALP) hospital berkenaan.

Beliau berkata, insentif yang berjumlah RM600,000 itu sudah mula dilunaskan hari ini.

“Saya bersyukur kerana semua ALP bersetuju untuk menerima insentif RM1,000 sempena hari raya, walaupun sebelum ini penjawat jawatan ini menerima bayaran khas antara RM8,000 hingga RM15,000 seorang.

“Berdasarkan situasi ekonomi semasa, kita berkongsi keadaan mencabar ini dengan menerima hanya RM1,000. Ini adalah satu keputusan penting bagi menunjukkan kematangan ALP dalam meletakkan semula asas yang betul kepada perjalanan Hospital Pakar Putra Melaka,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2019 @ 10:32pm
d