mutakhir

Tak sanggup berpisah

Oleh Mary Victoria Dass

USIANYA hanya 17 tahun, namun seorang gadis memiliki kekuatan dan kematangan luar biasa apabila memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara lima adiknya berusia dua hingga 16 tahun.

Bagi Noorazlina Abdullah, tiada apa yang lebih penting baginya melainkan menjaga kebajikan dan keselamatan adik-beradiknya yang berstatus anak yatim selepas kematian ibu, Salina Suleiman, 34, akibat kanser rahim pada 7 Disember tahun lalu.

Episod duka enam beradik itu ibarat berganda bukan saja kehilangan ibu kesayangan, malah mereka diduga apabila berpisah dengan bapa berusia 38 tahun selepas lelaki itu dikenakan perintah buang negeri Johor dan difahamkan kini berada di Melaka.

Noorazlina berkata, sejak awal tahun dia nekad bekerja di sebuah kilang bagi menyara semua adiknya dan memperoleh pendapatan RM600.

Tidak banyak diharapkan daripada pendapatan diperoleh kerana RM500 digunakan bagi membayar sewa rumah di Ulu Tiram.

Menurutnya, mereka pernah terputus bekalan makanan dan hanya mampu berdoa kepada Tuhan atas dugaan diberikan.

“Hanya Allah SWT tahu perasaan saya ketika itu dan hanya mampu menangis dalam hati kerana tidak mahu adik-beradik lain turut bersedih.

“Saya hanya mampu berdoa dan ingat pesanan arwah ibu supaya tidak mudah berputus asa dan berani berdepan cabaran,” katanya.

Noorazlina berkata, dia bersyukur kerana ada saja rezeki adik-beradiknya disumbangkan beberapa insan budiman dan penduduk setempat yang tampil menghulurkan sumbangan makanan.

“Apapun kesusahan dialami, saya tidak sanggup berpisah kerana mereka adalah dunia saya.

“Biar kami sehidup semati bersama, namun untuk berpisah jauh sekali. Saya tidak sanggup berdepan perpisahan selepas ini kerana kami tahu peritnya ketiadaan ibu di sisi.

“Kami memang merindui ayah tetapi buat masa ini dia tidak dapat mengunjungi kami dan hanya berbual menerusi telefon dan kali terakhir menghubungi kami dua hari lalu.

“Ayah juga bukan hidup senang di Melaka dan dia membantu sekadar yang mampu saja dengan memasukkan sejumlah wang dalam akaun dan terbaru memasukkan RM100, baru-baru ini.

“Namun berikutan dua adik saya masih memerlukan bekalan susu, saya tidak dapat menampung perbelanjaan dan kekurangan sumber kewangan,” katanya.

Noorazlina berkata, adiknya termasuk Mohamad Denny Hakimie, 16, Puteri Dennish Ismilralldha, 14, Puteri Nur Isfarrizah Zehra, 5, Puteri Nur Isma Balqis, 4, dan Muhd Fateh Ikhwan, 2.

Noorazlina berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) negeri, Tong Sing Chuan dan Penolong Amil Baitulmal Daerah Johor Bahru, Luqmanul Hakim Rahman al-Iskandarani.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 5:30am
d