mutakhir

Lelaki maut dijangkiti rabies

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan lelaki berusia 26 tahun berasal dari Kuching, Sarawak meninggal dunia akibat rabies, 9.15 pagi semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berkenaan adalah mangsa ke-18 yang dijangkiti rabies sejak wabak berkenaan diumumkan pada 1 Julai tahun lalu.

Beliau berkata, ujian makmal terhadap mangsa semalam mendapati mangsa positif rabies.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, sejak 1 Julai tahun lalu, sebanyak 17 kematian direkodkan termasuk kes terbaru semalam dan hanya seorang mangsa yang selamat iaitu kanak-kanak berusia sembilan tahun.

“Kanak-kanak berkenaan mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah,” katanya.

Katanya, kes rabies ke-18 adalah mangsa ketiga jangkitan penyakit ini akibat dicakar oleh anjing yang diambil dan dipungut dari sumber yang tidak diketahui, malah status vaksinasi rabies haiwan-haiwan terbabit juga tidak diketahui.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian sekali lagi mengingatkan orang ramai khususnya di Sarawak agar tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies kerana dikhuatiri haiwan terbabit dijangkiti virus rabies.

Menurutnya, pencegahan paling mudah daripada jangkitan rabies adalah segera mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur sebelum mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

“Sarawak masih belum bebas rabies. Sejak 1 Julai 2017 hingga 30 Mei lalu, Kerajaan Negeri Sarawak mengisytiharkan 62 kawasan di 11 bahagian sebagai kawasan jangkitan rabies.

“Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan. Justeru, pastikan anjing peliharaan mendapat suntikan vaksin anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan sentiasa pastikan haiwan peliharaan berada dalam kawasan rumah dan tidak bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

“Kerjasama orang ramai mematuhi semua saranan kerajaan amat-amat diperlukan bagi bersama-sama mengawal populasi anjing di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 11:16am
d