mutakhir

18 kematian setiap hari

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

SERAMAI 18 individu terutamanya penunggang motosikal dilaporkan maut dalam kemalangan di seluruh negara setiap hari.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, musim perayaan menjadi penyumbang terbesar kepada kadar kemalangan dan kematian berkenaan.

Menurutnya, statistik merekodkan, purata kematian disebabkan kemalangan adalah seramai 18 orang setiap hari sepanjang 2018 berbanding 19 (kematian) bagi tempoh sama pada tahun 2017.

“Kita harap pada tahun ini (2019) jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya seluruh negara dapat dikurangkan.

Daripada jumlah itu, 63 peratus kematian membabitkan penunggang motosikal. Jadi, saya nasihatkan golongan ini supaya mereka lebih berhati-hati sepanjang menggunakan jalan raya.

“Oleh itu, kita meneruskan kempen keselamatan jalan raya bagi mengingatkan pengguna supaya berhati-hati dan mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang perjalanan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidil Fitri di parkir Plaza Tol Gombak, di Gombak, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak dan Pengerusi Kelab Budayawan Aktif Gombak, Syed Husain Fahmi Syed Ahmad.

Menurut Kamarudin, lebih 80 peratus punca kemalangan adalah disebabkan sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

“Faktor manusia (pengguna) adalah sebab utama seperti cuai, gopoh dan penggunaan telefon bimbit ketika memandu. Faktor kedua barulah disebabkan faktor (kerosakan) jalan raya ataupun kenderaan itu sendiri,” katanya.

Katanya, kempen keselamatan jalan raya akan terus diperhebatkan oleh kementerian dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

“Ini penting bagi memperbetulkan budaya masyarakat Malaysia. Kita perlu terapkan budaya pengguna (jalan raya) yang sentiasa mementingkan keselamatan ketika di jalan raya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada warga emas dan anak yatim yang terpilih.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 11:36am
d