mutakhir

MIROS keluarkan panduan penggunaan kerusi keselamatan bayi

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

INSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menyerahkan garis panduan penggunaan kerusi keselamatan bayi kepada Kementerian Pengangkutan selewat-lewatnya penghujung Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Dr Siti Zaharah Ishak berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan garis panduan berkenaan.

“Ketika ini kita masih memberi fokus kepada kajian yang dilakukan pada hari biasa dan musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di parkir Plaza Tol Gombak, Gombak, hari ini yang dirasmikan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Menurutnya, berdasarkan kajian, tahap kesedaran pengguna jalan raya kepada penggunaan kerusi keselamatan bayi adalah sekitar 42 peratus pada hari biasa.

“Musim perayaan merekodkan sedikit peningkatan iaitu 44 peratus. Ini data yang direkodkan pada sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini,” katanya.

Siti Zaharah berkata, garis panduan menyeluruh akan dikeluarkan MIROS termasuklah berkaitan pembelian kerusi keselamatan bayi itu.

“Kita juga akan keluarkan garis panduan pembelian dan pemilihannya secara atas talian kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, hasil kaji selidik dilakukan mereka mendapati had mampu milik kerusi keselamatan bayi maksimum adalah RM200.

“Kerusi keselamatan itu dijual serendah RM99 hinggalah ribuan ringgit dalam pasaran. Jadi, ia bukanlah satu beban buat pengguna.

“Kita akan terus melakukan kajian dan pada masa sama mendidik pengguna menggunakan kerusi keselamatan itu sebelum ia dikuatkuasakan pada tahun 2020,” katanya.

Sebelum ini, Kamarudin menegaskan, kementerian sedang menggerakkan usaha bagi mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan bayi dalam setiap kereta persendirian.

Katanya, kepentingan penggunaan kerusi keselamatan dalam kenderaan dapat mengurangkan peratus kematian dan impak kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 12:13pm
d