mutakhir

Sepandai-pandai GRO menyorok, akhirnya... [METROTV]

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SEMBUNYI di bilik rahsia, itu yang dilakukan wanita pelayan pelanggan (GRO) dan pekerja warga asing apabila cuba mengelak ditangkap ketika serbuan di pusat hiburan dan karaoke haram di Jalan Layang-layang 5, Bandar Puchong Jaya, di Puchong, malam tadi.

Namun taktik itu terbongkar apabila Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor berjaya menemui bilik berkenaan di sebalik sofa.

Dalam serbuan 1.10 pagi itu, pegawai dan anggota daripada D7 Selangor mengambil masa hampir sejam untuk mengesan kedudukan bilik rahsia berkenaan sebelum ia akhirnya ditemui.

Hasilnya, polis menjumpai kira-kira 20 orang wanita dan lelaki warga asing sedang berasak-asak menyorok dalam bilik kecil dianggarkan berkeluasan kira-kira 12 meter persegi yang terletak dalam satu daripada bilik karaoke di tingkat dua pusat hiburan terbabit.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, ketika serbuan dijalankan, sebahagian besar bilik-bilik karaoke di pusat hiburan itu dipenuhi puluhan pengunjung yang sedang asyik berhibur.

“Menerusi serbuan ini, kita menahan 17 wanita warga Vietnam, seorang wanita dan seorang pondan warga Thailand serta seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai GRO.

“Kita turut menahan sembilan lelaki warga Bangladesh yang berkerja sebagai pelayan serta seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis.

“Seramai 68 pengunjung termasuk 12 wanita kesemuanya warga tempatan turut diperiksa,” kata Azmi ketika ditemui di lokasi.

Susulan pemeriksaan lanjut, polis turut menemui sebuah lagi lokasi persembunyian yang terletak hampir dengan bumbung di tingkat tiga premis dan menemui tiga pekerja lelaki warga asing sedang bersembunyi.

Katanya, siasatan mendapati pusat hiburan itu beroperasi secara haram tanpa lesen perniagaan sah sejak lebih setahun lalu dan ini kali kedua ia diserbu tahun ini.

“Dalam serbuan ini juga, kita merampas wang tunai RM1,184 serta pelbagai jenis arak.

“Difahamkan, pengunjung yang berminat mendapatkan khidmat GRO sebagai gadis peneman dikenakan caj antara RM150 hingga RM200 sejam,” katanya.

Menurut Azmi lagi, kesemua warga asing berusia antara 20 hingga 25 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 2:42pm
d