mutakhir

Terima kasih Cikgu Yap

Oleh Harun Yahya

GERIMIS mengiringi perjalanan terakhir seorang guru, Yap Hue Ling,47, menuju ke tanah perkuburan di Taman Peringatan Sibu, hari ini.

Hue Ling, guru yang meninggal dunia selepas pengsan ketika mengajar kelas tambahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Deshon, Sibu Isnin lalu, selamat disemadikan pada 10.45 pagi tadi.

Sebelum itu, upacara keagamaan untuk mendiang diadakan di rumah mayat Hospital Sibu bermula 8 pagi sebelum kerandanya dibawa ke Taman Peringatan Sibu.

Ratusan saudara mara, rakan sekerja, pelajar dan bekas pelajar mendiang hadir pada upacara itu.

Pengetua SMK Deshon, Nicholas Bamphield berkata, mendiang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu pelajarnya yang lemah.

“Mendiang mempunyai jiwa pendidik yang sangat bertanggungjawab terhadap tugasnya dan sangat prihatin terhadap anak didiknya sehingga sanggup meluangkan masa cutinya untuk mengadakan kelas tambahan,” katanya ketika ditemui pada upacara itu, hari ini.

Nicholas berkata, kelas tambahan yang diadakan mendiang ketika dia rebah itu adalah atas inisiatifnya sendiri untuk membantu pelajarnya.

“Dia sangat komited dalam menjalankan tugasnya. Kita berasa kehilangan, bukan sahaja di sekolah tetapi juga turut dirasai ibu bapa, pelajar serta bekas pelajarnya dan bagi saya, Cikgu Yap adalah seorang wira sebenar,” katanya.

Sementara itu, rakan sekerjanya, Boktie Siba berkata, beliau tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa mendiang yang disifatkannya sangat mesra dan pemurah dengan rakannya.

“Dia guru yang baik, dia sentiasa senyum dan bertegur sapa dengan pekerja, guru dan staf. Paling saya ingat dia seorang pemurah yang sering membelanja rakannya makan tanpa diminta,” katanya.

Adik ipar mendiang yang juga Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew pula berkata, urusan pendermaan organ seperti yang dipersetujui keluarga mendiang juga berjaya dilakukan.

“Saya difahamkan proses pengambilan organ mendiang berjaya dilakukan dengan hati dan buah pinggang mendiang sudah berjaya dibawa doktor ke Kuala Lumpur untuk dipindahkan kepada penerima organ di sana,” katanya.

“Ini satu contoh baik kerana organ yang diderma dapat membantu orang yang memerlukannya,” katanya.

Hue Ling dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sibu pada 27 Mei lalu dan disahkan meninggal dunia 10.21 pagi Khamis lalu.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 4:44pm
d