mutakhir

Jumlah saman meningkat [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 310 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Motosikal sempena Aidilfitri 2019 di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras-Kajang, Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) yang bermula 3 petang itu, 1,100 motosikal diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 125 motosikal diambil tindakan dengan 310 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Jumlah itu meningkat sebanyak 26 saman berbanding 284 saman dikeluarkan dalam operasi sama pada tahun lalu.

“Antara kesalahan paling banyak dilakukan penunggang motosikal adalah tiada cukai jalan dan tiada lesen,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan, hari ini.

Ismail berkata, 12 warga asing turut ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.

“Pada masa sama, pihak AADK turut melakukan ujian saringan awal air kencing terhadap 19 penunggang motosikal dengan tiga daripada mereka ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja dan methaphetamin.

“Selain itu, pihak JKJR turut mengagihkan sebanyak 400 vest pantulan cahaya dan 20 helmet dewasa dan kanak-kanak dalam operasi ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu dilakukan secara serentak di seluruh negara bermula hari ini dan esok bagi siri 1, manakala siri 2 dilakukan pada 8 dan 9 Jun.

“Objektif perlaksanaan operasi ini bagi mengurangkan kadar kemalangan dengan keberadaan anggota penguat kuasa di semua jalan raya utama pada musim perayaan.

“Pada masa sama, kami mahu membudayakan pemanduan berhemah serta pematuhan undang-undang jalan raya dengan mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Gambar: Hafiz Sohaimi

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 8:57pm
d