mutakhir

2 pasangan suami isteri ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA pasangan suami isteri ditahan polis dan dadah bernilai RM25,000 dirampas dalam serbuan Op Khas berasingan di Nilai, kelmarin dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Pang Jin Lai berkata, pasangan berusia antara 29 hingga 38 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat dan menjalankan risikan.

“Dalam operasi pertama 3 petang kelmarin, polis menahan suami isteri berusia 38 dan 32 tahun yang menaiki motosikal Yamaha LC135 di hadapan rumah mereka di Taman Bakawali, Nilai.

“Pemeriksaan dilakukan pada beg silang dan beg tangan yang diletakkan dalam raga serta kotak bahagian belakang motosikal menemui dadah disyaki syabu seberat 58.01 gram yang dianggarkan bernilai RM9,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pang berkata, ujian saringan air kencing dilakukan ke atas kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Sementara itu, katanya, dalam operasi kedua semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di dalam kereta Perodua Myvi yang di parkir di sebuah kelab di Kota Seriemas pada 3 petang.

“Pemeriksaan menemui dadah disyaki heroin seberat 195 gram. Polis menahan suspek dan kemudiannya menyerbu pula rumah suspek di Semenyih, Selangor pada hari sama.

“Polis menahan isteri suspek berusia 31 tahun yang ketika itu berada di rumah dan merampas heroin seberat 197 gram. Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM16,000,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: June 1, 2019 @ 11:07pm
d