mutakhir

Agih serentak

Oleh Redzuan Muharam

Rasa prihatin terhadap ahli keluarga pesakit serta kakitangan hospital mendorong Pakar Perunding Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Sungai Buloh, Dr Anis Siham Zainal Abidin mengumpul dana untuk membeli makanan bagi diagihkan kepada mereka ketika waktu sahur.

Dr Anis berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya mendapat bantuan tiga pakar pediatrik, seorang jururawat dan 36 penuntut fakulti perubatan dari Fakulti Perubatan UiTM kampus Sungai Buloh dan Selayang.

Menurut Dr Anis, inisiatif itu dilaksanakan sejak tiga tahun dan diteruskan pada tahun ini hasil sokongan dan sumbangan daripada orang ramai.

Katanya, program itu diadakan di Hospital Selayang pada 2017 dan 2018 serta diperluaskan ke Hospital Sungai Buloh pada tahun ini yang mana usaha mengumpul dana bermula sebulan sebelum Ramadan menerusi hebahan di kumpulan WhatsApp.

“Program ini bukan kali pertama diadakan sebaliknya kesinambungan aktiviti diadakan sejak dua tahun lalu.

“Idea ini tercetus selepas melihat kesusahan mereka mendapatkan makanan ketika waktu sahur dan jika ada lebihan makanan berbuka yang disimpan sekalipun, kemungkinan besar ia sudah basi dan tidak dapat dimakan.

“Jadi, kami cuba laksanakan inisiatif ini sebagai usaha membantu mereka memandangkan sebahagiannya bukan datang daripada keluarga senang tidak kurang juga yang hilang pendapatan sejak menjaga pesakit di hospital,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Dr Anis berkata, agihan makanan dilakukan di wad pediatrik, Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan ICU.

Menurut Dr Anis seramai 1,200 penjaga pesakit, kakitangan dan pengawal keselamatan menerima manfaat daripada program di kedua-dua hospital berkenaan.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 6:10am
d