mutakhir

Orang pertama guna 'drawbridge'

Oleh Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim

“SEJAK malam tadi saya tak tidur semata-mata untuk menjadi orang pertama menggunakan jambatan yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu ini,” kata Wan Amir Asyraf Wan Azman, 25, dari Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu.

Katanya, sejak kerajaan negeri mengumumkan jambatan berkenaan akan dibuka untuk tempoh percubaan, dia menanam azam untuk mencipta sejarah menjadi yang pertama menggunakan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara dan terpanjang di dunia itu.

“Saya sampai di sini 6.15 pagi dan nasib saya baik kerana menjadi yang pertama tiba di laluan menghala ke Seberang Takir,” katanya.

Wan Amir Asyraf yang bekerja sendiri berkata, pembukaan jambatan berkenaan sangat ditunggu-tunggu rakyat Terengganu.

Katanya, pastinya orang ramai tidak melepaskan peluang menggunakan laluan berkenaan sama ada dari Seberang Takir ke Kuala Terengganu atau sebaliknya.

Sempena hari pembukaan, lebih 100 kenderaan berada kedua-dua hala seawal pagi sementara menunggu ia dibuka jam 7 pagi.

Pembukaan sementara jambatan itu adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya dan koordinasi sistem penyuraian trafik.

Sepanjang tempoh percubaan hanya kenderaan sahaja yang dibenarkan melalui jambatan berkenaan dan orang ramai dilarang berada di atas jambatan berkenaan untuk merakam gambar.

Orang ramai juga tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan kerana secara teknikal, jambatan berkenaan masih dianggap sebagai kawasan pembinaan.

Sepanjang tempoh percubaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat operator pengurusan jambatan akan memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pemandu sentiasa terjaga di dalam tempoh pengujian.

Selepas tamat pengujian sistem pada 17 Jun, jambatan itu akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain dan tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat ini yang dijangka Julai nanti.

Berketinggian 12.5 meter dari aras laut, jambatan sepanjang 638 meter yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Jambatan yang menggunakan teknologi hidraulik bascule termaju itu turut mempunyai nilai estetika yang tinggi apabila menggabungkan unsur budaya dan warisan masyarakat Terengganu.

Bascule yang bermaksud jambatan yang boleh digerakkan itu adalah yang terpanjang di dunia membabitkan jarak 76 meter bagi membolehkan kapal melaluinya.

Memulakan pembinaannya pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal.

Di menara dan jambatan udara disediakan ruang solat, bilik air dan tempat penyediaan makanan di tingkat 13, manakala tingkat 14 pula terdapat satu restoran mewah.

Menurut sumber Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), idea mewujudkan jambatan ikonik itu timbul apabila satu kajian pelan induk bersepadu dibuat bagi membangunkan kawasan hab pertumbuhan baru di KTCC.

Selain membuka ruang pertumbuhan bandar raya ini, jambatan angkat berkenaan adalah bertujuan memperbaiki aliran trafik di KTCC selain menjadi jalan alternatif dengan memendekkan masa perjalanan sekurang-kurangnya 15 minit dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Jambatan angkat itu menjadi jambatan keempat menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Manir dan Jambatan Pulau Sekati.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 10:07am
d