mutakhir

Terbabas sebelum tercampak

Oleh Nor Farhani Che Ad

REMAJA maut manakala dua rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi terbabit kemalangan ketika menyertai konvoi di Kilometer 76.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, Sungai Petani, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa, Muhammad Haikal Amree Hassan, 18, dan dua rakan yang kedua-duanya berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas menyertai majlis berbuka puasa di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku apabila mangsa (Muhammad Haikal Amree) yang menunggang motosikalnya berseorangan melanggar bahagian belakang kiri sebuah kereta.

“Pelanggaran menyebabkan mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar pagar besi penghadang sebelum tercampak ke kiri bahu jalan manakala motosikalnya tercampak ke kanan.

“Dua penunggang lain yang berada di belakang mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal terbabit menyebabkan kedua-duanya terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, Muhammad Haikal Amree meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius pada kepala dan putus kaki kanan.

Sementara dua, dua rakannya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 10:53am
d