mutakhir

10 motosikal disita

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SEBANYAK 10 motosikal disita dalam Operasi Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di Plaza Tol Senawang, Seremban, malam tadi.

Operasi yang turut disertai polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu bermula jam 10 malam hingga 2 pagi hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 638 kenderaan diperiksa dan 125 kenderaan yang diambil tindakan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 10 motosikal disita manakala 26 kenderaan diberi notis larangan penggunaan, notis arah periksa (17) dan saman atas pelbagai kesalahan (104).

“Kesalahan tiada lesen memandu, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh adalah antara kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi kali ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Turut menyertai operasi ialah Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohd Azlan Shah Othman.

Azrin berkata, sejak Operasi Hari Raya Aidilfitri bermula pada 29 Mei lalu, sebanyak 147 kes atas pelbagai kesalahan direkodkan JPJ negeri.

Selain itu, katanya, AADK turut menahan seorang lelaki yang didapati positif dadah manakala lima warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Beliau berkata, 10 notis kesalahan turut dikeluarkan oleh JAS dan satu kenderaan dikenakan kompaun kerana mengeluarkan bunyi bising melebihi had ditetapkan.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 1:29pm
d