mutakhir

RCI siasat salah laku hakim ditangguh

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat salah laku hakim terpaksa ditangguhkan selepas ada pihak memfailkan saman pemula bagi mencabar penubuhan RCI berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata, ada individu yang memfailkan saman terhadap kerajaan berhubung keputusan untuk menubuhkan RCI itu.

Beliau berkata, individu itu mendakwa RCI berkenaan melanggar beberapa peruntukan undang-undang selain tidak mengikut perlembagaan.

“Perkara ini sudah difailkan di mahkamah dan proses undang-undang perlu dijalankan.

“Kerajaan akan menunggu keputusan saman ini tetapi dalam masa sama siasatan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap diteruskan,” katanya pada sidang media, di Sandakan, hari ini.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan pendedahan seorang hakim yang mendakwa berlaku salah laku hakim lain membabitkan beberapa kes mahkamah.

Berikutan pendedahan itu pada Februari lalu, kerajaan menyatakan persetujuan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat salah laku hakim seperti yang didakwa.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan mewujudkan RCI pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kedua di Sabah, Liew berkata, ia tidak perlu kerana sudah ada RCI bagi isu sama sebelum ini.

“Namun apa yang berlaku, laporan itu masih kekal misteri walaupun sudah ramai saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sekiranya ada cadangan yang boleh digunakan dan berkaitan, maka kita boleh melaksanakannya tanpa melalui pusingan kedua RCI kerana ia tidak praktikal dan membuang masa,” katanya.

RCI berkaitan kebanjiran PATI di Sabah dilaksanakan pada tahun 2012 namun sehingga kini, laporannya belum didedahkan sepenuhnya dan ada yang beranggapan masih tiada tindakan menangani kebanjiran PATI di negeri ini selepas RCI itu siap.

Disiarkan pada: June 2, 2019 @ 2:10pm
d