mutakhir

Musibah bertimpa

Oleh BERNAMA

BELUM hilang kesedihan dua beradik susulan kehilangan ibu mereka dua tahun lalu akibat kanser usus, kini mereka berhadapan ujian berat apabila bapa mereka pula disahkan menghidap penyakit sama.

Nur Fatin Syazwani Ab Karim, 26, berkata, doktor mengesahkan bapanya, Ab Karim Atan, 57, menghidap kanser usus tahap empat, Mac lalu selepas bapanya itu kerap mengadu sakit perut.

Bekerja sebagai kerani, dia kini mengambil alih tugas ketua keluarga apabila bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah tidak lagi mampu bekerja.

Adiknya, Nur Fatin Syazana, 24, yang kini dalam pengajian tahun akhir di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula bekerja sambilan untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.

“Sejak ayah sakit, dia enam kali mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat,” katanya di kediamannya di Kampung Rahmat, di sini, semalam.

Terdahulu, Nur Fatin Syazwani menerima sumbangan Aidilfitri daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Jati Batu Pahat yang disampaikan Pengerusi Khas Biro Kebajikannya, Mohd Hamidi Mad Tap.

Menurut Nur Fatin Syazwani, bapanya perlu menjalani rawatan lanjut pada hari raya kedua di HSNI, menyebabkan mereka sekeluarga tidak bersemangat membuat persiapan Aidilfitri disebabkan kewangan yang agak terhad selain perlu menampung perbelanjaan perubatan ayahnya.

“Selain menggunakan wang gaji bulanan, saya juga sudah menggunakan wang simpanan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang untuk ayah.

“Satu tin susu harganya hampir RM90 dan ayah memerlukan tiga hingga empat tin seminggu, manakala ayah juga perlu memakai sehingga 10 lampin pakai buang setiap hari,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan boleh berhubung dengan Nur Fatin Syazwani di talian 012-7852635 atau menerusi akaun CIMB Bank, Nur Fatin Syazana bernombor 7615 5986 22.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 6:10am
d