mutakhir

Tiga kedai musnah terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

DUA lot kedai pusat penjagaan kanak-kanak dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Estet Teck Guan, Jalan Tamoi, Lahad Datu, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.06 malam, pasukan bomba dikerah ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, kebakaran satu blok membabitkan tiga kedai. Dua kedai adalah pusat penjagaan kanak-kanak dan sebuah kedai runcit yang terbakar 90 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 8 malam dan padam sepenuhnya jam 9.24 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kebakaran tidak membabitkan mangsa kerana ketika kejadian tiga kedai berkenaan tidak beroperasi.

“Kebakaran dipadamkan pasukan bomba dengan kekuatan seramai 11 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zulkifli Harry,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 10:28am
d