mutakhir

Azab tangan tertusuk besi...

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KECERIAAN remaja lelaki memasang lampu ‘kelip-kelip’ sempena Aidilfitri bertukar detik mencemaskan apabila tangannya tertusuk besi pagar dalam kejadian di Jalan Padi Mahsuri 14, Bandar Baru Uda di Johor Bahru, malam tadi.

Arshad Sulaiman Azli, 15, dikatakan memanjat pagar itu untuk memasang lampu kelip-kelip berkenaan sebelum tergelincir hingga mengakibatkan tangan kanannya tertusuk pada besi pagar berkenaan.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Mohd Hairi Nizam Mostapa berkata, seramai 11 anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 10.22 malam.

“Mangsa tidak panik dan cemas. Kami membantu memotong besi pagar menggunakan alat pemotong hidraulik.

“Remaja itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk tindakan lanjut,” katanya yang mengetuai operasi itu, malam tadi.

Katanya, tindakan memotong besi itu dilakukan bagi mengelak kecederaan mangsa bertambah teruk.

“Operasi tamat pada 10.37 malam,” katanya.

Terdahulu, tular empat keping gambar dikongsi Facebook (FB) Community Roda Johor (CRJ) membabitkan kejadian menimpa remaja lelaki itu.

Kelihatan beberapa anggota bomba membantu memotong besi pada tangan remaja yang masih melekat pada besi pagar berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan apabila remaja itu dilihat memegang payung berwarna merah ketika dibantu anggota bomba di lokasi kejadian.

Turut kelihatan remaja itu berada dalam kenderaan EMRS dan sudah bersiap sedia untuk dihantar ke HSA bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan dialami.

Bagaimanapun besi berkenaan dilihat masih berada pada tangannya itu.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 12:51pm
d