mutakhir

Ceti cilik didakwa

Oleh Shaarani Ismail

REMAJA lelaki berusia 17 tahun dan rakannya yang berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, hari ini atas tuduhan memberi pinjaman wang haram dan mengugut peminjam hujung bulan lalu.

Remaja terbabit bersama rakannya, K Guruprasanth, dituduh melakukan kesalahan itu 3.15 petang di sekitar Jalan Pokok Assam, 27 Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mengugut T Kaneshan, 36, yang meminjam sebanyak RM350 daripada mereka.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 29(B) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(B) akta sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Foo Siew Peng.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada remaja terbabit kerana dia adalah pesalah juvana manakala rakannya, Guruprasanth mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Terdahulu, Nor Raihan memohon kepada mahkamah supaya mengenakan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah kemudian membenarkan remaja terbabit dijamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin manakala Guruprasanth dibenarkan jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan lantikan peguam dibuat oleh kedua-dua tertuduh.

Terdahulu, remaja terbabit dan Guruprasanth turut didakwa bersama empat yang lain termasuk seorang lagi juvana di mahkamah sama kerana melakukan rusuhan di tempat dan lokasi sama.

Kedua-dua mereka didakwa bersama Teoh Jin Hao, 23; T Kaneshan, 36 dan S C S Ravie Santar, 51, kerana melakukan rusuhan secara bersama di Jalan Lima Pokok Assam kira-kira jam 2 petang 27 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Empat daripada tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala tiada pengakuan direkodkan daripada dua lagi remaja kerana masih di bawah umur.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 terhadap keempat-empat tertuduh manakala dua pesalah juvana diarahkan supaya membayar wang jaminan sebanyak RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan dua pesalah juvana berkenaan bagi membolehkan laporan akhlak kedua-dua tertuduh diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 12:53pm
d