mutakhir

'Isteriku gangster'

Oleh Junaidi Ladjana

BERANG ditegur kerana asyik bermain judi dalam talian, seorang isteri bertindak ‘gangster’ dengan membelasah suaminya menggunakan batang besi dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Panji, Lahad Datu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam, mangsa berusia 38 tahun dikatakan menegur isterinya yang berjalan di ruang tamu rumah bagi mencari talian telefon bimbitnya kerana sedang bermain judi dalam talian.

Wanita itu marah lalu keluar dari rumah dan masuk semula sambil membawa sebatang besi sebelum memukul suaminya di muka dan badan sambil menjerit memarahi mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa yang luka di kening, pipi dan dada membuat laporan polis semalam, selepas menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, sepasukan polis membuat serbuan dan menahan suspek terbabit.

“Suspek berusia 40 tahun ditahan jam 2 pagi tadi dan turut dirampas batang besi yang digunakan ketika kejadian.

“Pemeriksaan juga mendapati suspek seorang penagih dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek adalah isteri kepada mangsa dan berkahwin sejak 2004.

“Mangsa hanya bekerja mengutip besi buruk manakala isterinya (suspek) hanya suri rumah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan seseorang menggunakan senjata,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 1:34pm
d