mutakhir

Pukul bini dengan penyangkut baju

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

HANYA kerana perselisihan faham kecil, seorang lelaki tergamak memukul isterinya menggunakan besi penyangkut baju dalam kejadian di Kampung Gong Bayor, Kampung Raja di Jertih, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2 petang ketika mangsa berusia 31 tahun bertengkar dengan suaminya berusia 33 tahun di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pasangan itu pada awalnya sekadar bertikam lidah sebelum suspek yang gagal mengawal perasaan marah bertindak mengambil besi penyangkut baju lalu menyerang mangsa.

Katanya, tindakan suspek itu menyebabkan mangsa cedera di muka dan kepala sebelum wanita terbabit mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan dibuat mangsa, suspek yang juga seorang peniaga ditahan kira-kira 1 pagi semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 2:14pm
d