mutakhir

Patah tangan dipukul kerana telefon bimbit

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG lelaki warga emas patah tangan kanan dibelasah dengan batang kayu kayu dalam kejadian di Kampung Tok Dor Dalam, Jertih, kelmarin.

Kejadian menimpa lelaki berusia 70 tahun itu dikatakan berpunca daripada seorang lelaki menuduh anak mangsa mencuri telefon bimbitnya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian kira-kira 3 petang itu berlaku di sebuah kolam ikan milik suspek berusia 32 tahun itu.

Katanya, siasatan mendapati suspek dikatakan menuduh dua anak lelaki mangsa masing-masing berusia enam dan lapan tahun mencuri telefon bimbitnya sebelum membawa kanak-kanak itu ke sebuah kolam ikan.

“Mangsa datang ke lokasi kejadian untuk mengambil anaknya sebelum diserang suspek menggunakan sebatang kayu.

“Susulan kejadian itu, anak saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Setiu namun dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Mohd Zamri berkata, suspek yang bekerja sebagai penternak ikan ditahan di sebuah rumah di Kampung Nyiur 7 kira-kira 1 tengah hari semalam dan polis turut merampas kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 2:48pm
d