mutakhir

[UPDATE] Anak saudara tiga beradik buta ditahan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS menahan anak saudara lelaki kepada tiga beradik warga emas wanita Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran rumah mereka di Kampung Titi Besi di Arau, semalam.

Lelaki berusia 28 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki berkenaan membakar rumah tiga beradik berkenaan kerana berang tidak diberikan wang, tambahan pula ketiga-tiga mangsa ada menerima hasil daripada penjualan kelapa di tanah pusaka mereka.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, polis menahan lelaki terbabit semalam dan dia mengaku menyebabkan kebakaran di rumah tiga beradik itu.

“Kita masih melakukan siasatan terperinci terhadap suspek berhubung kejadian kebakaran semalam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan tiga beradik warga emas wanita Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan tinggal sehelai sepinggang selepas segala persiapan menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi di rumah mereka hangus dalam kebakaran.

Dalam kebakaran yang berlaku 4 petang itu, rumah pusaka yang didiami Che Manai Ibrahim, 73, bersama dua lagi kakaknya, Zainah, 79, dan Khalijah, 98, musnah sama sekali sehingga tiga beradik berkenaan terpaksa menumpang di rumah anak saudara mereka.

Berita berkaitanAidilfitri 'terpilu' tiga beradik buta

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 2:51pm
d