mutakhir

21 kematian hari kelima Op Selamat 15

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan penambahan 21 kematian dalam tempoh lima hari Op Selamat ke-15 semalam, menjadikan angka korban keseluruhan seramai 90 orang.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad berkata, Selangor terus mencatatkan jumlah korban paling ramai iaitu 13 kematian diikuti Johor (11), Sarawak (10) dan Perak (10), Kedah (9), Kelantan (8) dan Pahang mencatatkan tujuh kematian.

“Manakala Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah pula masing-masing empat kematian, Terengganu (3), Melaka (2) dan Kuala Lumpur kekal dengan satu kematian.

“Sebanyak 85 kemalangan maut dilaporkan di seluruh negara sepanjang lima hari op Selamat dijalankan sejak Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Asmawati berkata, sebanyak 8,454 kemalangan dilaporkan membabitkan 34 individu yang mengalami kecederaan parah dan 69 individu mengalami kecederaan ringan.

“Dalam pada itu, sejumlah 121,590 saman dikeluarkan dalam tempoh sama dengan jumlah tertinggi dikeluarkan Kontinjen Bukit Aman iaitu 30,099 saman.

“Kes pecah rumah dan premis juga meningkat kepada 208 kes di seluruh negara dengan kediaman paling banyak iaitu 131 kes,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei lalu sehingga 12 Jun depan.

Enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 3:18pm
d