mutakhir

'Anak tahu erti kesusahan'

Oleh

Hazira Ahmad Zaidi

“SEJAK suami sakit 13 tahun lalu, kami jarang membeli baju raya untuk anak,” kata Zaliha Hassan, 47.

Menurut Zaliha, suaminya, Muhd Fauzi Mat Hussin, 50, yang sebelum ini bekerja sebagai penjual ais terpaksa berhenti selepas menderita sakit buah pinggang, gout dan mengalami masalah mental.

Suri rumah itu berkata, dia hanya mengharapkan bantuan adik bongsunya, Zainab Hassan, 30-an, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Taiping, Perak untuk membeli kelengkapan hari raya 11 anaknya yang berusia antara tujuh hingga 23 tahun.

“Anak sulung (Fatin Farhana, 23) baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Vokasional Sri Iskandar, Perak dan bagi membantu meringankan beban keluarga, dia kini bekerja di Klang, Selangor.

“Saya mempunyai 10 lagi anak bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang besar termasuk dua daripada mereka yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya ketika ditemui di Program Kongsi Raya di pasar raya Mydin, Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.

Program itu adalah kesinambungan program penutup Jom Kita Kongsi Ramadan dengan kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Kelantan Creative TV (KCTV), Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Royal Guest House (RGH) dan badan bukan kerajaan (NGO) Nothing To Hide.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan Datuk Zamri Ismail, Setiausaha Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan Muhammad Imran Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif RGH Raja Rusmin Raja Mahmud, Pengarah Operasi KCTV Kelantan Norazwatul Akmal Kasmuri dan Setiausaha KEMUDI Rosmiza Kasim.

Dalam masa sama, anak sulung pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, Iqbar Hakim Jasman, 20, turut menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan asnaf untuk membeli barangan keperluan dalam program berkenaan.

Zainab berkata, anaknya memahami kesusahan keluarga selain keadaan ayah mereka dan tidak pernah memaksa untuk dibelikan persalinan baju raya di Aidilfitri.

“Kalau ada sumbangan baju raya, itulah baju baharu untuk anak dan jauh di sudut hati saya berasa sedih kerana terpaksa menunggu sumbangan bagi menggembirakan hati mereka,” katanya yang tinggal di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh.

Sementara itu, Nur Hidayati Abdul Wahib, 23, berkata, sejak dua tahun lalu, dua anaknya Muhammad Alif Daniel Mohd Shafirul Ashraf, 4, dan, Muhammad Adam Daniel, 2, perlu menunggu sumbangan daripada NGO untuk membeli pakaian raya.

Katanya, suaminya, Mohd Shafirul Ashraf Razali, 25, sebelum ini bekerja sebagai pemasang pendingin hawa terpaksa berhenti kerja selepas menghidap penyakit buah pinggang tahap lima dan perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Bagi menampung kehidupan, saya mengambil upah menjahit manik di Gallery Bawal dekat Pantai Cahaya Bulan dengan pendapatan RM500 sebulan selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh suami sebanyak RM200,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmiza berkata, seramai 100 asnaf daripada 18 keluarga terpilih menerima sumbangan baju raya serta barang keperluan barangan dan biskut raya berjumlah RM10,000.

“Mereka yang dipilih berdasarkan penelitian program jelajah dan Insya-Allah program Kita Kongsi akan diteruskan lagi pada bulan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 3:21pm
d