mutakhir

Tujuh cedera dua kereta bertembung

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TUJUH termasuk wanita cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta yang bertembung di Batu 8 Lekir, Sitiawan, hari ini. Kejadian jam 11.20 pagi itu, membabitkan kereta jenis Daihatsu Charade dinaiki empat mangsa berusia 20 hingga 30-an, dengan Perodua Kancil dinaiki tiga mangsa berusia 30-an.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Khairul Azizi Kamaruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 11.25 pagi.

“Difahamkan kereta Daihatsu dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan manakala Perodua Kancil dari arah bertentangan.

“Penumpang hadapan kereta Daihatsu iaitu seorang wanita berusia 20-an tersepit dalam kemalangan itu dan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, enam mangsa lain turut cedera dalam kemalangan itu namun tidak tersepit dan sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada tersepit kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12 tengah hari tadi,” katanya

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 3:53pm
d