mutakhir

Dua dah ke 'dalam', dua lagi diburu

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

JENAYAH curi kereta didalangi empat sahabat di daerah Sabak Bernam sejak enam bulan lalu lumpuh selepas dua daripada mereka diberkas polis, 30 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, tangkapan itu membabitkan dua beradik berusia 25 dan 18 tahun.

“Kedua-dua suspek ditahan melalui Ops Lejang yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak.

“Hasil risikan dan maklumat awam, dua beradik itu menjalankan kegiatan mencuri kenderaan iaitu sebuah Proton Satria, Proton Wira dan Perodua Kancil termasuk satu kes curi bateri lori,” katanya kepada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Katanya, dua lagi suspek berusia lingkungan 20-an masih bebas dan diburu pihak polis.

Menurut Chee Khoon, hasil siasatan dijalankan mendapati dua beradik itu positif dadah methamphetamine malah pihaknya juga berjaya merampas peralatan curi kenderaan.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 4:38pm
d