mutakhir

Jadi mata kawal aliran trafik di lebuh raya

Oleh Suraya Roslan

Pusat Kawalan Trafik PLUS Malaysia Berhad menjadi mata dalam menyalurkan maklumat kecemasan kepada anggota penguat kuasa dan pengguna termasuk maklumat terkini aliran trafik semasa di lebuh raya seliaan PLUS.

Dengan kapasiti 80 kakitangan, pusat kawalan itu beroperasi 24 jam sehari dan 365 hari setahun demi memudahkan pengguna yang memilih menggunakan Lebuhraya PLUS.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusof Abdul Aziz berkata, pusat kawalan trafik berpusat di Subang itu menerima lebih 1,500 panggilan sehari bertanyakan mengenai keadaan trafik semasa.

“Pusat Kawalan ini adalah pusat untuk semua panggilan diterima daripada pengguna melalui talian bantuan kami.

“Selain keadaan trafik, kita menerima pelbagai panggilan kecemasan dan kenderaan rosak sebelum menyalurkan maklumat itu kepada polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan hospital.

“Kita sebagai orang tengah mengatur gerakkan sesuatu operasi sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, sepanjang musim perayaan ini, pihaknya menjangka menerima peningkatan 2,000 panggilan sehari mengenai keadaan aliran trafik semasa.

“Kita juga menjangka lebih dua juta kenderaan keluar dari ibu kota dan menggunakan lima lebuh raya utama untuk pulang ke kampung sempena musim perayaan ini.

“Setakat hari ini (semalam) semua aliran trafik di beberapa lebuh raya seliaan kami lancar dan terkawal.

“Kami menjangka keadaan ini berlaku berikutan ramai perantau sudah pulang ke kampung lebih awal berikutan cuti persekolahan bermula awal tahun ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menjangka waktu puncak aliran trafik sesak bermula hari ini dan malam hari raya.

“Bagaimanapun, kita menasihatkan pengguna muat turun aplikasi PLUS di mana mereka boleh melihat secara langsung aliran trafik lebuh raya kami.

“Dari situ, pengguna boleh merancang perjalanan mereka supaya tidak berada dalam kesesakan lama atas lebuh raya,” katanya.

Menurutnya, setakat semalam walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya namun aliran trafik menuju ke utara dan selatan lancar.

“Trafik lancar sepanjang lebuh raya PLUS, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Jambatan Pulau Pinang,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 5:14pm
d