mutakhir

Lebih baik beri duit raya - MMF

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

TIDAK mahu melihat terlalu banyak pembaziran pek juadah berbuka puasa, Moulana Masjid India Friends (MMF) tampil cara tersendiri menyantuni golongan asnaf di ibu negara.

Koordinator MMF, Moulana Ali, 47, berkata, atas alasan itu beliau dan beberapa rakan memilih untuk menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 golongan asnaf yang dilihat lebih diperlukan kumpulan itu.

“Setiap kali Ramadan ini, kita lihat begitu ramai pihak sama ada individu dan syarikat korporat berpusu-pusu mahu memberikan bantuan terutamanya pek juadah berbuka puasa dan pakaian terpakai.

“MMF sebagai kumpulan yang berada di lapangan melihat ada sesetengah sumbangan itu menyebabkan pembaziran.

“Sebab itu kami berpendapat adalah lebih baik memberikan kumpulan asnaf ini sedikit duit raya yang dapat membantu mereka,” katanya ketika ditemui pada program sumbangan MMF di Masjid India, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau sedih membaca laporan media baru-baru ini mengenai pembaziran makanan pek juadah berbuka puasa di beberapa kawasan tumpuan gelandangan di ibu negara.

“Situasi itu amat menyedihkan dan ia juga bukanlah salah gelandangan kerana mereka mungkin sudah terlalu banyak diberikan pek juadah berbuka puasa sehingga mengakibatkan pembaziran.

“Kami harap, usaha MMF ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan menjadi contoh mereka yang ingin memberikan sumbangan ,” katanya.

Muka depan Harian Metro pada 24 Mei lalu melaporkanmengenai lambakan makanan bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak kepada gelandangan di ibu negara sehingga menyebabkan pembaziran.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 6:54pm
d