mutakhir

1,150 lot parkir untuk pengunjung!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 1,150 lot parkir disediakan kepada orang ramai yang mahu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana Presint 10, Putrajaya, Rabu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, majlis itu akan bermula pada 10 pagi dan dijangka berakhir 4.30 petang.

“Bagi memudahkan orang ramai yang berhasrat untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri nanti, sebanyak 1,150 lot parkir disediakan di 12 tempat parkir di sekitar kompleks berkenaan.

“Antara tempat parkir yang disediakan adalah Kelab Tasik Putrajaya, kawasan luar Kompleks Seri Perdana dan kawasan Puspanitapuri merangkumi jalan masuk ke parkir gelanggang, parkir gelanggang, parkir lot hadapan serta parkir bawah tanah (basement).

“Orang ramai juga boleh meletakkan kenderaan di tanah persendirian di Presint 10 meliputi kawasan padang di belakang kediaman Ketua Setiausaha Negara (KSN), padang sebelah kanan Puspanitapuri, padang di Jalan P10/4, padang di Jalan P10/7, bahu Jalan P10/8 dan sepanjang Persiaran Seri Perdana P10,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir boleh menggunakan perkhidmatan bas henti-henti disediakan bermula jam 9.30 pagi untuk ke lokasi majlis.

“Terdapat tiga lokasi untuk mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan bas berkenaan iaitu di Putrajaya Central, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan pada hari itu untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam memandangkan ruang parkir terhad,” katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan pegawai dan anggota polis bertugas.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri dan barang peribadi ketika berada di lokasi majlis yang sesak bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti seluk saku selain tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan dan memastikan kenderaan ditinggalkan dalam keadaan berkunci,” katanya.

Katanya, polis mengharapkan kerjasama orang ramai supaya mematuhi segala arahan dan nasihat diberikan supaya majlis itu berjalan lancar.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di talian 03 88862222,” katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2019 @ 10:31pm
d